Saturday, 18 April 2015

Arahan 20

Arahan MKN No. 20 : Dasar dan Mekanisme Pengurusan Bencana Negara.

1.    Bilakah Arahan ini diwujudkan?

Arahan ini mula diwujudkan pada 11 Mei 1997 oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN), Jabatan Perdana Menteri (JPM) ekoran daripada tragedi keruntuhan Pangsapuri Highland Towers di Hulu Klang, Selangor pada 11 Disember 1993. Bagi memperkemas dan memperluaskan skop pengurusan Bencana yang semakin rumit dan kompleks, Arahan ini telah disemak semula pada 30 Mac 2012 bagi menerangkan peranan pihak-pihak yang berkaitan supaya ianya lebih menyeluruh dan bersepadu.

2.    Apakah tujuan Arahan diwujudkan?

Arahan ini disediakan bertujuan untuk menggariskan dasar dan mekanisme pengurusan bencana secara menyeluruh termasuk peranan dan tanggungjawab Agensi Kerajaan, badan berkanun, pihak swasta dan badan-badan sukarela meliputi peringkat sebelum, semasa dan selepas berlaku sesuatu bencana supaya pengemblengan sumber dapat disepadukan bagi mengelakkan pembaziran, konflik serta pertindihan peranan.

3.    Mengapa skop dasar dan mekanisme Arahan ini hanya bertumpu kepada pengurusan bencana di darat?

Penumpuan ini adalah kerana kekerapan tinggi kejadian bencana di darat dan penyelarasan tindakbalas agensi-agensi pengurusan bencana di darat adalah penting. Walau bagaimanapun Arahan ini juga telah memperjelaskan peranan dan tanggungjawab Agensi Peneraju bagi kejadian bencana maritim dan udara. Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) telah dipertanggungjawabkan bagi mengurus kejadian bencana di laut manakala Jabatan Penerbangan Awam (DCA) akan mengendalikan bencana udara dengan kedua-duanya menggunakan Manual Mencari dan Menyelamat (SAR) Kebangsaan Jilid IV sebagai rujukan.

4.    Jenis kejadian bencana apakah yang termasuk di bawah Arahan ini?

Terdapat 11 jenis bencana yang akan diurus di bawah Arahan ini iaitu

a.    bencana alam (banjir, ribut/taufan, gempa bumi, tsunami, ombak besar, kemarau dan tanah runtuh);

b.    bencana industri (letupan, kebakaran, pencemaran, kebocoran bahan berbahaya di kilang/loji/depot yang memproses, mengeluar dan menyimpan bahan ini);

c.    kemalangan melibatkan pengangkutan/penyaluran/pemindahan bahan berbahaya);

d.    keruntuhan bangunan/struktur khas;

e.    kemalangan udara (yang berlaku di kawasan berpendudukan tinggi);

f.     pelanggaran/gelinciran keretapi/lain-lain sistem pengangkutan rel yang melibatkan jumlah mangsa/kemusnahan harta benda yang besar;

g.    kebakaran (melibatkan kawasan yang luas termasuklah kebakaran bangunan tinggi/struktur khas yang mempunyai ramai orang);

h.    empangan/takungan air pecah;

i.      kemalangan kimia, biologi, radiologi dan nuklear;

j.      kejadian jerebu;

k.    penularan wabak penyakit berjangkit yang tidak terkawal/pandemik; dan

l.      lain-lain kejadian Bencana yang akan diisytihar/ditetapkan Kerajaan.

Kejadian yang tidak tersenarai di atas akan ditakrifkan sebagai Kejadian Bukan Bencana dan tidak tertakluk di bawah Arahan ini.

5.    Bagaimana Arahan ini membantu pengurusan bencana?

Arahan ini menerangkan mekanisme pengurusan bencana mengikut tiga (3) tahap iaitu Tahap I (peringkat Daerah), Tahap II (peringkat Negeri) dan Tahap III (peringkat Pusat). Penerangan setiap tahap ini adalah seperti berikut:


Tahap I
Tahap II
Tahap III
Peringkat Bencana
Daerah
Negeri
Pusat
Nama Jawatankuasa Pengurusan Bencana
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD)
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN)
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP)
Jenis Bencana
Kejadian kecil, setempat, terkawal dan tiada potensi untuk merebak
Kejadian serius dan merebak ke dua (2) daerah dan lebih
Bencana lebih kompleks di dua (2) buah negeri dan lebih serta mengambil masa lama
Sumber
Dapat dilaksana menggunakan sumber setempat
Bantuan aset, kewangan dan sumber di peringkat Negeri serta bantuan yang terhad dari peringkat Pusat
Penggemblingan aset, kewangan dan sumber yang lebih besar atau melalui bantuan dari luar negara
Pengerusi Jawatankuasa
Pegawai Daerah
YB Setiausaha Kerajaan Negeri
YB Menteri yang dilantik oleh YAB Perdana Menteri
Komander Operasi Bencana
Ketua Polis Daerah
Ketua Polis Negeri
Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, PDRM
Timbalan Komander Operasi Bencana
Pegawai Bomba Daerah
Pengarah Bomba dan Penyelamat Negeri
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JBPM
Komander Kawalan Hadapan
Dilantik oleh Komander Operasi Bencana mengikut kepakaran dalam menasihat tindakan mengikut jenis bencana



















6.    Bagaimana perintah dan kawalan dilaksana?

Bagi tujuan perintah dan kawalan, kawasan bencana akan dibahagikan kepada tiga (3) zon iaitu:

a.    Zon Merah

Zon ini meliputi suatu kawasan yang ditetapkan oleh Komander Operasi Bencana bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat oleh Agensi Penyelamat dan pasukan-pasukan khas yang mempunyai kepakaran tertentu sahaja. Kebenaran masuk ke dalam zon ini perlu terlebih dahulu mendapat kebenaran daripada Komander Operasi Bencana dengan nasihat Komander Kawalan Hadapan.

b.    Zon Kuning

Zon ini adalah kawasan di luar tempat kejadian yang ditetapkan oleh Komander Operasi Bencana untuk menempatkan pos-pos Agensi Penyelamat dan pasukan-pasukan khas yang mempunyai kepakaran tertentu. Penempatan pos-pos dan akses masuk ke zon ini perlu terlebih dahulu mendapat kebenaran daripada Komander Operasi Bencana.

c.    Zon Hijau

Zon ini adalah kawasan di luar Zon Kuning yang menempatkan pos-pos dan petugas-petugas Agensi Bantuan dan Pemulihan serta badan-badan sukarela. Zon ini juga menempatkan Pusat Pengurusan Media, Pusat Keluarga Mangsa, Pusat Kaunseling, Tempat Bekalan Makanan, Tempat Rehat dan Tempat Mayat. Lain-lain fungsi zon ini akan diputuskan oleh Komander Operasi Bencana.

7.    Bagaimana operasi mencari dan menyelamat diselaras?

Bagi melicinkan tugas, Komander Operasi Bencana akan melantik Komander Kawalan Hadapan (Forward Commander) untuk mengetuai semua operasi mencari dan menyelamat di tempat kejadian. Komander Kawalan Hadapan ini hendaklah terdiri daripada mana-mana Komander pasukan Agensi Penyelamat. Tugas Komander Kawalan Hadapan adalah untuk menilai dan melaporkan situasi Bencana kepada Komander Operasi Bencana.

8.    Adakah Arahan ini akan mengehadkan pihak media untuk menjalankan tugas?

Pihak media masih dibenarkan untuk mendapatkan maklumat dan berita berkenaan kejadian bencana. Satu kawasan yang dikenali sebagai Pusat Pengurusan Media yang diwujudkan di Zon Hijau. Pusat yang diselaras oleh Jabatan Penerangan ini akan memudahkan pihak media untuk mendapatkan maklumat melalui sesi sidang media yang akan disampaikan oleh Pegawai yang berkelayakan. Prosedur ini diwujudkan supaya hanya fakta penting disampaikan kepada orang awam bagi mengelak berlakunya kekeliruan yang tidak diingini.

9.    Bagaimanakah prosedur jika terdapat pihak-pihak merancang untuk memohon atau menghantar bantuan kemanusiaan terutama sekali dari/ke luar negara?

Mana-mana pihak yang merancang untuk memohon bantuan kemanusiaan dari luar negara atau menghantar bantuan kemanusiaan ke luar negara hendaklah terlebih dahulu merujuk kepada MKN. Berdasarkan Arahan ini, MKN sebagai Agensi Peneraju Utama pengurusan bencana Negara bertanggungjawab untuk menyelaras pelaksanaan bantuan kemanusiaan supaya pelaksanaannya selari dengan keputusan dasar Kerajaan serta instrumen antarabangsa seperti perjanjian, memorandum persefahaman, deklarasi dan sebagainya yang telah dimetrai Kerajaan dengan pihak antarabangsa.

10.  Apakah peranan yang boleh dimainkan Agensi Kerajaan, badan berkanun, pihak swasta dan badan sukarela dalam mencapai matlamat pengurusan bencana secara berkesan?

Setiap pihak boleh bekerjasama untuk melaksanakan setiap perkara yang telah digariskan di dalam Arahan ini. Kerjasama yang boleh dijalinkan adalah seperti membantu melaksanakan program-program kesedaran dan kependidikan awan berkaitan pengurusan bencana, membantu menyalurkan bantuan dari segi penggunaan logistik pada waktu yang diperlukan, menyalurkan sumbangan kewangan kepada Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara (KWABBN) serta menggembleng tenaga dalam usaha-usaha pengurangan risiko bencana.

No comments:

Post a Comment